Tuesday, March 3, 2015

Sakit Mata merah

Pengenalan
Mata merah beserta kesakitan merupakan petanda masalah mata yang serius dan memerlukan perhatian perubatan dengan segera. Jika rawatan ditangguhkan ia boleh menyebabkan kebutaan kekal.
Penyebab mata merah beserta kesakitan yang biasa berlaku termasuk Ulser Kornea, Glaukoma Akut dan Uveitis.
1. Ulser Kornea
Kornea merupakan lapisan terluar mata. Permukaan kornea adalah jernih, berbentuk kubah yang meliputi bahagian hadapan mata dan membantu memfokus cahaya ke retina. Jangkitan pada kornea berlaku apabila bakteria berjaya memasuki kornea melalui luka atau kecederaan pada permukaan kornea. Pengguna kanta sentuh mempunyai risiko tingga untuk mendapat ulser kornea jika arahan cara pemakaian dan penjagaan tidak diikuti dengan betul.
Gambar mata kiri
Kornea

Gambar mata beserta kanta sentuh
Kanta sentuh(Penggunaan yang lama dan tidak bersih boleh menyebabkan ulser kornea)

Gambar mata merah disebabkan oleh ulser kornea
Ulser kornea
Tanda dan gejala ulser kornea:
  • Sakit mata yang teruk
  • Mata merah
  • Mata berair
  • Berpasir atau berbiji
  • Sensitif pada cahaya (fotofobia)
  • Kabur
Pada sesetengah pemakai kanta sentuh, kornea mungkin akan menjadi kurang sensitif terhadap rasa sakit oleh itu pemakai hanya akan mengadu mengenai kemerahan dan rasa gangguan pada kornea sahaja.
Ulser Kornea adalah masalah serius yang mengancam penglihatan. Sesetengah bakteria amat agresif dan boleh menembusi kornea dan menyebabkan jangkitan dalam bola mata (endophthalmitis).Oleh itu, rawatan perubatan segera adalah amat penting.
2. Glaukoma Akut
Glaukoma jenis akut adalah merupakan kes kecemasan bagi penyakit mata. Ia terjadi berikutan peningkatan tekanan bola mata yang mendadak disebabkan oleh masalah pengaliran cecair dari dalam ke luar mata. Bola mata menjadi keras dan menyebabkan kesakitan yang teruk.
Gambar mata dengan glaukoma akut
Mata merah, kornea legap dan anak mata separa kembang
Tanda-tanda dan gejala glaukoma akut:
  • Sakit mata yang mendadak
  • Kabur
  • Pandangan berpinar (kelihatan gegelang berwarna warni di keliling cahaya)
  • Mata merah
  • Sakit kepala
  • Loya dan mungkin muntah
Adalah mustahak bagi pesakit glaukoma akut dirawat oleh doktor mata dengan segera bagi menghentikan serangan.Kelewatan dalam rawatan boleh nmengakibatkan kehilangan penglihatan yang kekal.
3. Uveitis
Uveitis adalah sekumpulan penyakit radang okular yang melibatkan lapisan dalam mata seperti iris, badan siliari dan koroid. Sebahagian kes uveitis tidak diketahui sebabnya manakala sebahagian lagi adalah disebabkan penyakit sistemik seperti Rheumatoid arthritis (radang sendi), jangkitan kuman dan juga barah. Uveitis boleh melibatkan satu atau kedua belah mata. Ia tidak berjangkit. mata atau kedua-dua mata. Mata merah pada uveitis selalunya merupakan tompokan merah yang mengelilingi kornea.
Gambar mata dengan uveitis
Mata merah sekeliling kornea
Tanda-tanda dan gejala uveitis:
  • Sakit mata
  • Sensitif pada cahaya (fotofobia)
  • Kabur
  • Mata merah (selalunya kemerahan sekeliling kornea)
  • Kadang kala megalami floaters (kelihatan bayangan terapung di hadapan mata yang sakit)
Pakar mata boleh mendiagnos uveitis dengan melakukan pemeriksaan teliti menggunakan peralatan khas seperti lampu celah (slit lamp). Uveitis memerlukan rawatan yang betul dan rawatan ulangan. Dalam kes Uveitis yang berulang dan melibatkan kedua belah mata, kemungkinan berkaitan dengan penyakit sistemik. Oleh itu penyiasatan (ujian darah dan x-ray) perlu dilakukan bagi mencari punca penyakit agar rawatan yang tepat dapat diberikan. Kelewatan rawatan boleh menyebabkan komplikasi seperti katarak dan glaukoma.
INFO DARI ;
Penulis:Dr. Joseph Vijaya Alagaratnam
Penyemak:Dr. Salmah Othman

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...